Bagus ke tak bagus jailbreak iphone?

Banyak soalan aku tengok yang bertanya pasal bagus ke tak kalau nak jailbreak Apple device anda. Meh kat sini aku nak cerita sikit. Banyak orang Malaysia akan cakap, asal jailbreak jer mesti nak dapat software free.

Kalau tengok matlamat asal jailbreak, hacker bukannya jailbreak nak bagi kita dapat software free ke ape.

1. Jailbreak ni lebih kepada customization. IOS ni close source kalau compare dengan Android. Jadi file system atau pun “root” tak boleh di acess sewenang-wenangnya oleh developer. Banyak limitation akan dapat jikalau tak boleh nak access root dekat file system ni. Antaranya tak boleh sesuka hati pakai API yang Apple tak bagi untuk develop software. Kenapa Apple buat camni? Sebabnya isu keselamatan device tersebut. Kalau dibuat open source macam Android, file-file system ni akan mudah di manipulasi oleh developer untuk kepentingan mereka.

Apa akan jadi bila jailbreak? Kita blh access file system. Sebab tu bila jailbreak Apple device boleh install themes mcm Android. Install macam-macam tweaks dekat device (kena beza apa itu tweak dan apps, ada beza di situ).

2. Software free? Okay, satu lagi concern dari developer ataupun users adalah mereka tak boleh download trial version untuk mana-mana software sebelum diorang beli dari Apple store. Jadi, diorang akan rasa rugi kalau salah beli software. Jadi apa yang diorang buat adalah diorang akan dowload software yang cracked dulu. Kalau dah puas hati baru diorang beli. Kebanyakkan mat saleh ni diorang dah ada kesedaran yang salah pakai software crack.

3. Kenapa jailbreak lambat keluar bagi tiap-tiap IOS?
Securiti yang Apple buat semakin ketat. Dan hackers yang buat semua benda ni tidak dibayar. Mereka buat for fun. Tidak ada komitmen tetap. Mereka ada kerja lain yang perlu mereka fokuskan. Duit yang mereka dapat hanya duit sedekah(donation) dari orang yang hargai kerja-kerja mereka.

4. Jailbreak bagus ke tak bagus?
Bergantung… Normal user yang tak tahu sangat pasal iphone mungkin tak elk jailbreak. User yang nak iphone jadi mcm Android elk jailbreak. Pendek kata, anda jailbreak sekuriti device anda akan berkurangan. Tapi setakat mana risiko, anda yang tentukan berdasarkan kegunaan harian iphone anda.

5. Jailbreak dari Apple perspektif.
Apple lagi suka sebenarnya ada jailbreak community. Ibarat kerja yang mereka lakukan ini macam security testing yang dilakukan secara percuma. Bila hacker dah discover loophole ataupun exploits, Apple akan cepat-cepat tutup loophole tersebut. Ini akan menjadikan iphone lagi secure in some ways. Sapa dapat benefit? Mestila end user… πŸ™‚

Begitula serba ringkas pasal jailbreak ni yang dapat aku simpulkan.

Cuba tengok snapshot bawah ni antara tweak yang aku dah install bila jailbreak iphone aku. Lebih kurang toogle macam Android la…benda ni aku dah pakai sebelum IOS7 keluar lagi feature ni.

20131106-044316.jpg

-Aizzat-

Peringatan untuk diriku

1. Terlampau banyak buat rutin yang sama akan mengurangkan creativity.. Otak akan letih dan cepat bosan.

2. Bersukan menyihatkan badan. Otak aku lagi senang fokus lepas main bola berbanding seharian aku dekat makmal. (harap dapat bersukan lebih kerap lagi)

3. Sesibuk mana pun kita, keluarga kena nombor satu. Ramai yang lupa hakikat ini.

4. Bila ada banyak prioriti tugasan, pentingkan prioriti untuk kita dahulu. Bukan untuk orang lain. Bila dah selesai baru buat yang lain.

5. Berkawan dengan orang yang positif sangat membantu perkembangan karekter positif anda.

Aizzat

Pindah Rumah…

Baru lepas hantar manuscript journal aku untuk publication. Harap kali ini tidak kena reject. Semoga Allah murahkan rezeki aku dan umat Islam yang lain.. Insyaallah.

Esok, dah kena berkemas untuk pindah rumah. Kali ini dah rasa macam ada rumah sendiri. Senangla sikit kalau si isteri nak datang jumpa. Weekend husband katakan. Hehe

Target aku sekarang – banyakkan membaca tentang ilmu kewangan dan habiskan PhD yang berbaki lagi setahun.

Aizzat
31 Oct 2013

Ujian Allah, dimanakah kita?

Ramadhan ini banyak betul dugaan yang akan kita terima. Insyaallah, jika kita menghadapi dengan hati terbuka, kita akan dapat hadapinya. Dugaan ni ada macam-macam jenis. Ada yang Allah bagi dugaan dengan kesenangan, ada yang Allah bagi ujian dengan kesusahan. Tiap-tiap orang diuji dengan ujian yang berbeza.

Ujian kesempitan wang – kita akan rasa tidak cukup duit untuk makan minum. Hati kita resah memikirkan masa akan datang yang akan kita tempuhi. Insyaallah, jika kita meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah, Allah akan bukakan pintu rezeki kepada kita. Bukankah rezeki Allah itu luas ?

Ujian kesihatan – ada masanya kesihatan kita bukannya pada tahap terbaik. Apabila kesihatan kita tidak sebaik yang kita mahukan, kita akan rasa susah dan tidak selesa. Fitrah manusia akan ingatkan tuhan bila di dalam kesusahan. Pernahkan anda lihat orang yang sakit teruk masih ada masa untuk membuat maksiat kepada Allah? Kebiasaan manusia, lebih teruk sakitnya sepatutnya menjadikannya lebih ingat dan dekat kepada Allah.

Ujian kehilangan orang yang tersayang – Setiap manusia mempunyai sesorang yang dia sayang. Seseorang yang sangat penting dalam kehidupannya. Namun, semua itu hanyalah pinjaman sementara oleh Allah kepada kita. Apabila Allah mengambil kembali haknya hendaklah kita redha. Bagi yang masih mempunyai orang yang tersayang di sekeliling, hargailah mereka sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu berapa lama lagi kita akan bersama dengan mereka.

Dan banyak lagi jenis-jenis ujian yang Allah turunkan untuk menguji tahap keimanan kita. Semua ini mestilah dihadapi dengan sabar dan penuh takwa. Insyaallah, Allah akan bersama dengan orang yang beriman kepada-Nya.

Pesanan aku kepada diri sendiri dan pembaca artikel ini, ingatlah Allah di kala anda senang dan susah. Jangan pernah putus harapan dengan pertolongan Allah. Sezalim mana pun kita dengan diri sendiri, jangan pernah berhenti untuk berharap kepada rahmat Allah. Rahmat Allah itu sangat luas dan meliputi semua manusia.

Semoga dengan kehadiran Ramadhan kali ini akan menyebabkan kita muhasabah diri kita kembali. Tingkatkan amal dan takwa diri kita yang penuh dosa ini. Semoga Allah ampunkan kesalahan-kesalahan kita yang lampau.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua umat Islam.

Aizzat
16 Julai 2013
1:19 AM

ps: kepada yang berminat untuk follow aku bolehlah lihat link twitter di bawah blog ini πŸ™‚

Salam Ramadhan 1434

Salam Ramadhan.

Dah lama rasanya tak update blog ni. Tahun ni banyak peristiwa bermakna yang aku lalui.

1. Status aku bertukar.. Bukan bujang lagi dah. Sudah ada satu lagi tanggungjawab.

2. Journal paper dengan impact factor dah diterima untuk publication.

3. Motor kesayangan aku, RXZ sudah dijual. Beli motor baru MODENAS GT 128.

4. Insyaallah, satu conference paper juga akan dipublish tidak lama lagi.

Banyak lagi nak aku dokumenkan dekat sini namun nak menulis tu mood belum sampai lagi. Jadi, setakat ini saja dulu. πŸ™‚

Aizzat
1 Ramadhan 1434
10 July 2013

Politik Malaysia dan masa depan…

Ini adalah kali pertama aku mengundi. Pilihanraya kali ini menyaksikan media alternatif digunakan seluas-luasnya untuk berkempen. Sepanjang pemerhatian aku di media dan perbualan bersama rakan yang berlainan ideologi dan parti politik, ada beberapa benda yang aku rasa aku patut rekodkan di sini.

1. Banyak isu pengundi hantu berlegar di media alternatif (Facebook, Twitter).

2. Isu dakwat kekal yang tidak kekal sekaligus menjatuhkan reputasi SPR.

3. Isu video sumpah Saiful yang memang sah-sah edit.

4. Isu pemberian IC kepada warga asing. Berlegar di media alternatif. Keyakinan aku terhadap isu ini agak tinggi selepas perbualan dengan rakan Indonesia aku di mana sahabatnya seorang pensyarah di Malaysia telah ditawarkan IC dengan syarat kena mengundi parti tertentu.

5. Isu pemberian wang RM200 oleh satu parti politik. Mereka ditawarkan wang dengan mengundi parti tersebut dan menjadi ahli. Didengar sendiri oleh aku dari mulut saudaraku yang merupakan penyokong parti tersebut dan dia akan mengambil wang tersebut. Kemudian, friend Facebook aku juga bertanyakan hal yang sama iaitu di mana duit tersebut boleh diperolehi.

Proses demokrasi memerlukan sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan. Jika kerajaan yang terbentuk adalah hasil dari politik wang, politik perkauman dan politik lucah. Maka negara yang bakal terbentuk kita akan dapat bayangkan bagaimana.

Masih ingat lagi perbualan aku dengan saudara aku sendiri. Katanya “jikalau aku pilih parti A, apa yang aku boleh dapat? Kalau duit pun tak boleh kasi buat apa aku nak undi dia”. Jikalau beginilah tahap pemikiran majoriti rakyat negara kita, aku boleh cakap yang kedaulatan negara kita akan berada pada tahap bahaya.

Satu lagi, banyak juga yang kondem aku dengan sinis bila aku bincangkan hal politik dan isu negara. Katanya biar orang politik sahaja yang fikir. Membicarakan hal politik beerti kita sayangkan negara kita. Kita mahu negara kita menjadi lebih baik. Adakah dengan meletakan post gambar makanan tengahari anda di Facebook menyebabkan anda rasa itu lebih bagus dari berbicara hal politik?

Aku sayang negara aku. Malaysia merupakan negara yang unik dengan rakyatnya yang berbilang kaum. Sebagai golongan yang terpelajar, akan aku cuba ubah cara berfikir kebanyakan rakyat negara kita. Insyaallah….

Aizzat
5 May 2013
Selepas mengundi.

Ps: aku ingat hari lahir kau. Tapi tak blh nak wish. Kalau terbaca post ni, selamat hari lahir πŸ™‚

Coretanku kepada seorang sahabat karib si “N”

Dalam dunia ni, ada banyak benda kita kena lepaskan. Kita tak boleh dapat dua benda dalam satu masa. Kita sering di datangi dengan dua pilihan yang sama-sama baik. Kita sering buntu di dalam membuat keputusan. Ada kalanya kita tersilap langkah.

Kadang-kadang kita terpaksa melepaskan apa yang kita sayang sebab mungkin itu lebih baik untuk diri kita dan orang yang kita sayang. Semua itu merupakan kembara di dalam kehidupan. Benda yang kita akan hadapi sampai kita tua dan mati.

Ada kalanya perpisahan itu sesuatu yang ada hikmahnya. Sesuatu yang menyebabkan kita belajar sesuatu yang berharga. Kita belajar betapa manisnya saat kita bersama. Kita belajar menghargai sesuatu masa dahulu yang kita tidak pernah terfikir. Perpisahan menyebabkan kita menjadi lebih tabah untuk menghadapi masa akan datang yang lebih mencabar.

Lihatlah, berapa banyak perpisahan yang terpaksa kita tempuhi semenjak kita lahir. Berpisah dengan kawan rapat, berpisah dengan ibu bapa, berpisah dengan suami isteri. Semua itu menjadikan kita lebih kuat. Lebih mengharapkan bantuan daripada Allah. Lebih dekat kepada Allah.

Aku tak pasti tulisan ini akan dibaca oleh kawan rapat aku atau tidak. Di mana aku tidak akan bertemunya lagi selepas ini sehingga akhir hayat. Namun, jikalau dia terbaca tulisan ini ingin aku ucapkan yang aku sangat menghargainya. Doa aku sentiasa mengiringimu agar engkau sentiasa di dalam lindungan Allah dan imanmu sentiasa mantap.

Aku tahu perpisahan ini adalah lebih baik untuk jangka masa panjang. Aku tahu cara ini lebih dirahmati Allah untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar. Aku harapkan kawan rapat aku sentiasa bahagia hidup di dunia dan akhirat. Tidak sangka perkenalan kita yang singkat akan membuatkan kita menjadi sahabat rapat.

20130407-064846 AM.jpg

Sungguh singkat masa berlalu… Terasa sekejap sahaja aku mengenalimu dan kini engkau hilang dari pandangan mataku. Hilang selama-lamanya. Akan aku ingatmu di dalam doaku. Tak dapat aku bayangkan dapatkah aku mengenalimu lagi apabila saban tahun kita tidak bertemu. Dapatkah aku merasakan kehadiranmu jika kita terserempak di tengah jalan. Atau, sanggupkah aku berdepan denganmu jikalau kita berjumpa. Semua itu akan menjadi tanda tanya…

Akan aku mulakan hidup baru tidak lama lagi. Kehidupanku segalanya akan berubah. Begitu juga kau, sahabat baikku. Ku harapkan kau di sana sentiasa tenang dan bahagia. Ketahuilah, tujuanku menulis coretan ini untuk dijadikan satu memori abadi yang akan aku kenang sampai akhir hayat. Bahawa engkau merupakan seorang sahabat yang telah mencorakkan hidup aku dengan kenangan yang manis.

Ingin aku akhiri coretan ini dengan doaku padamu. Kuharapkan kau dapat menghadapi hari yang lebih tenang dan imanmu sentiasa meningkat dari hari ke hari. Kuharapkan kau sentiasa mendoakan kebahagiaan aku juga di dunia dan di akhirat. Sehingga ini sahaja kita bertemu. Selamat tinggal untuk selamanya sahabatku yang tercinta….

Yang benar,
Aizzat
7hb April 2013 ( Ahad 6:42 AM)
Coretanku selepas solat subuh.

Ps: Jikalau kau terbaca coretanku sila senyum yer. Aku ada rekodkan pesanan kau yang terakhir sebelum kau tidak akan berjumpa aku lagi selamanya. Untuk dijadikan kenang-kenangan di hari tua πŸ™‚

Key Dates

1. iPad hilang pada hari ahad bersamaan 17/3/2013. Berjaya diselamatkan.

2. Journal dengan IF accepted with minor revision. Harap dapat publish la…

Ps: Saja aku tulis untuk catatan peribadi. Supaya nanti aku dapat lihat balik bila dah tua. Hehe

Pembangkang dan kerajaan dan Lahad Datu

Isu Lahad Datu ini membuatkan aku terbuka mata untuk melihat reaksi parti politik pembangkamg di Malaysia. Walaupun aku sebelum ini lebih cenderung banyak benda tidak bersetuju dengan kerajaan, namun isu lahad datu ini menyaksikan pembangkang di Malaysia ini sangat tidak bijak.

Isu kedaulatan negara dijadikan modal politik untuk menghentam kerajaan. Aku tidak hairan jika kerajaan menghentam pembangkang menerusi media-medianya yang memang terkenal dengan kaki putar. Namun, tindakan pembangkang menyalahkan kerajaan dan mempertikaikan kemampuan ketenteraan kita ( seperti yang telah dinyatakan oleh bekas panglima ATM yang kini menyertai PKR) amat membuatkan aku kecewa.

Sepatutnya di dalam isu ini, apa yang pembangkang perlu lakukan adalah dengan membantu kerajaan dengan memberikan komen membina. Jangan mempertikaikan kemampuan pertahanan Malaysia kerana secara psikologi dikhuatiri akan membangkitkan semangat pihak musuh yang ingin menyerang. Mesej kehebatan tentera harus disebarkan dengan jelas untuk memberikan serangan psikologi kepada pihak musuh.

Musuh juga akan berasa gerun jikalau mereka melihat pembangkang dan kerajaan Malaysia bersatu di dalam isu yang melibatkan kedaulatan negara. Pembangkang juga boleh menjadi anggota unit amal sukarela untuk membantu mangsa dan penduduk lahad datu yang tertindas. Kenyataan yang jelas juga harus pembangkang keluarkan untuk menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan Malaysia menghapuskan penceroboh. Bukannya dengan mempertikaikan isu ini sandiwara ataupun tidak.

Di dalam kekecewaan aku terhadap sikap tidak matang pembangkang, aku berasa sedikit lega apabila ahli ISMA, yang merupakan player politik baru di Malaysia mengeluarkan kenyataan yang membina. Antara kenyataan yang ISMA keluarkan adalah supaya label pejuang yang “gugur” ditukar kepada “syahid” untuk menghargai jasa perwira yang terkorban. Komen membina seperti inilah yang aku harapkan keluar dari Pakatan Rakyat di Malaysia ini.

Betul, isu Lahad Datu ini sedikit sebanyak akan mengugat undi Pakatan Rakyat. Jikalau dulu aku berazam untuk memangkah Pakatan, tidak mustahil untuk aku berubah fikiran jikalau mereka berterusan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya. Sikap dan pendirian ISMA juga aku nak lihat sama ada mampu memerintah negara secara matang ataupun tidak.

Sebagai golongan profesional, aku bukannya seorang yang taksubkan mana-mana parti baik dari kerajaan mahupun pembangkang. Cuma aku harapkan suasana politik di Malaysia adalah politik yang sihat.

Sekian

Aizzat
14/3/2013
2:11AM

Syabas kepada PDRM dan ATM

Dah lama tak update post. Isu Sabah ni buatkan aku nak update special post kepada pasukan keselamatan yang 24 jam menjaga keselamatan di Sabah dan Malaysia. Mereka adalah hero kami.

Kerajaan Malaysia dah kasi can secukupnya kepada penceroboh yang masuk. Kronologi insiden di Sabah yang aku ringkaskan. Nak tau lebih lanjut, sila Google.

1. Pengganas diberi masa yang cukup lama untuk berunding
2. Sebelum serang bagi warning lagi dengan mengedarkan surat serah diri tanpa syarat.
3. Tidak serang lagi sehinggalah anggota keselamatan terbunuh. Kejadian inilah yang menyebabkan polis bertindak balas
4. Sekarang, tiada rundingan akan dilakukan oleh Malaysia. Mati atau serah diri tanpa syarat.
5. Penceroboh cuba menawarkan gencatan senjata. Tidak diterima Malaysia.
6. Malaysia reject gencatan senjata. Serah diri atau mati.
7. Penceroboh memainkan isu yang Malaysia tidak mahu setelkan urusan secara rundingan damai (nampak tak helah penceroboh di sini?)
8. Penceroboh menuduh Malaysia melakukan kesalahan kemanusiaan. Cuba mendapatkan campur tangan asing (helah mereka lagi untuk menggugat kedaulatan Malaysia).
9. Malaysia masih tegas untuk melakukan operasi pembersihan pengganas sehingga ke hari ini.

Nampak? Penceroboh sentiasa mencari isu untuk memburukan negara kita dan menggunakan tipu helah. Marilah kita berdoa semoga dalang-dalang isu ini dilaknat Allah dan diberikan balasan yang setimpal di dunia dan akhirat. Kita doakan semoga Allah sentiasa melindungi Malaysia dan kekal di dalam keadaan aman dan damai.

Aizzat
11 March 2013